Friday, December 19, 2008

MENERAJUI DIRI KE ARAH KECEMERLANGAN

Kita dilahirkan ke dunia dengan pelbagai macam perbezaan. Ada yang miskin, ada yang kaya, ada yang berkulit putih, ada yang berkulit hitam dan berbagai-bagai perbezaan. Walau bagaimanapun, perbezaan yang dinyatakan ini hanya semata-mata perbezaan fizikal.

Kebanyakan manusia dilahirkan normal, tetapi ada pula yang dilahirkan cacat (beza upaya). Ada yang cacat penglihatan, pendengaran, tubuh badan dan ada pula yang terencat akal.

Kita faham jika seseorang itu beza upaya, dia mempunyai kekurangan dalam kesempuraan dirinya tetapi adakah yang sempurna tubuh badan itu semestinya lebih positif atau berjaya? Kita sering kali mendengar tentang kejayaan manusia beza upaya yang mampu mengatasi kebolehan manusia biasa. Apakah alasan yang mahu kita gunakan untuk fenomena ini? Ramai yang mencari helah lalu menyebut bahawa orang yang sedemikian punyai kelebihan yang diberikan Tuhan kepada mereka. Bagaimana pula yang normal? Tidakkah Tuhan memberi juga kelebihan pada yang normal? Jadi, bagaimana pula kita masih gagal dan tidak mampu menikmati kejayaan yang dimiliki oleh manusia lain, baik yang normal mahu pun kurang normal?


Ada manusia pula lain helahnya. Dia tidak mahu berusaha lalu menyalahkan nasib dirinya, dengan secara tidak langsung menyalahkan Penciptanya! Seseorang manusia, boleh, sama ada menerajui dirinya atau membatasi dirinya. Dalam buku ini, perbincangan kita akan berkisar tentang dua domain ini, iaitu orang yang menerajui diri yakni melakukan perkara-perkara yang positif dan orang yang membatasi diri yang terikat dengan perlakuan negatif.


Orang yang menerajui diri akan menuju ke arah kecemerlangan. Kecemerlangan di dalam konteks buku ini ialah kejayaan diri seseorang dari segi inteleknya, emosinya, jasmaninya dan rohaninya. Kejayaan material seseorang merupakan antara indikator kecemerlangan, tetapi bukan satu-satunya petanda kecemerlangan. Contohnya, ada orang yang kaya dari segi harta benda, tetapi tidak tidak boleh dianggap cemerlang jika tidak stabil dari segi emosi dan jasmaninya.


Kecemerlangan diri juga bermakna kebolehan membantu orang lain mengecapi kejayaan dan kesejahteraan. Walau bagaimana pun, ini hanya mungkin berlaku apabila diri sendiri sudah berada di ambang kejayaan diri. Apabila kita menyatakan tentang menerajui diri, apakah sebenarnya kriteria penerajuan diri? Antara kriteria yang dimiliki oleh seseorang manusia yang menerajui dirinya adalah seperti berikut:
- mampu mengawal dirinya dan juga orang lain
- mampu berfikiran tajam dan menyelesaikan masalah dengan baik
- berfikiran kreatif dan inovatif
- bersikap terbuka dari segi fikiran dan perlakuan
- mempunyai kebolehan komunikasi yang baik
- mempunyai kepercayaan terhadap diri dan orang lain
- mampu menangani perubahan
- menganggap masa depan cerah

video