Saturday, December 20, 2008

PERKONGSIAN MINDA KELAS PERTAMA

Fokus MINDA KELAS PERTAMA merujuk kepada amalan terbaik warga siswa-siswi (SM Kaunseling) UMT yang melebihi daripada kebiasaan dari segi pengurusan minda, emosi dan tata kelakuan. Amalan-amalan ini seterusnya dapat mempengaruhi dan meransang kumpulan untuk berusaha secara ikhlas bagi mencapai visi, misi, matlamat diri siswa-siswi program SM Kaunseling, Jabatan Psikologi dan Kaunseling dan matlamat FPE.

Amalan Kepimpinan Diri Terbaik

Berminda positif - Percaya dan yakin terhadap sesuatu yang baru dirancang dan akan membawa kebaikan. Contohnya yakin bahawa setiap sesuatu proses belajar dan tugasan boleh diperbaiki dengan usaha penambahbaikan secara berterusan.

Berminda mencipta - Minda yang tidak terkongkong dengan kebiasaan amalan dan proses belajar dan tugasan sedia ada, sebaliknya melakukan perbaharuan, penambahbaikan dan perpandangan jauh. Contohnya sentiasa mencipta kelainan dan penambahbaikan dalam menerajui diri sepanjang mengikuti program pengajian.

Mengutamakan kualiti - Mementingkan kualiti dalam segala bentuk penampilan diri dan tugasan walaupun perkara yang remeh. Contohnya mengambil berat amalan penampilan kualiti diri, kualiti komunikasi interpersonal yang berkesan, disiplin diri yang sentiada mencirikan
pelajar IPT.

Merealisasikan idea-idea baru - Mengolah semula idea-idea hasil daripada pembacaan, pengalaman dan kemahiran dan menjadikannya lebih mudah difahami serta direalisasikan dalam penglibatan pelbagai aktiviti di universiti.

Menjana kehebatan - Meneroka setiap ruang dan peluang untuk dijana menjadi suatu nilai baru yang terbaik dan unggul bercirikan trade mark UMT dan menepati motto "Terokaan Seluas Lautan".

Memupuk budaya kompetensi cemerlang - Menggalakkan rakan sebaya/ kaunselor sebaya ke arah peningkatan ilmu pengetahuan dan berkemahiran. Tidak kedekut ilmu dan sedia membantu rakan sepengajian agar win-win situation terjelma untuk mengukuhkan trade mark UMT.

Menghayati perasaan - Kebolehan memahami perasan dan kehendak orang lain (empati) supaya rakan seperjuangan/sepengajian dapat merasakan diri mereka dipunyai, dihargai dan "cubit peha kanan, peha kiri terasa". Dalam hal ini soal mempentingkan kebajikan dan memahami perasaan orang lain menjadi keutamaan. Tetapi warga pelajar UMT perlu hindarkan diri daripada seperti kambing diurut janggut atau dipanggil tidak menyahut dilambai tidak nampak.

Bijak mengurus emosi - Dapat memahami emosi diri dan emosi orang lain untuk kebaikan rakan sepengajian dan nama baik Jabatan Psikologi dan Kaunseling, FPE. Oleh itu, siswa-siswi perlu mampu mengawal emosi walaupun berada dalam persekitaran yang tertekan.

Sentiasa dalam keceriaan - Berupaya mewujudkan keceriaan diri dan persekitaran. Realisasikan hal ini walaupun dalam suasana tugasan terdesak.

Berindak sebagai pembimbing - Memberi bimbingan kepada rakan yang menampakkan lari daripada trek siswa UMT. Bertindaklah sebagai kaunselor sebaya.

Menjadi ikutan - Menunjukkan teladan kepada rakan sepengajian dengan keperibadian yang terpuji. Paling tidak mampu mengamalkan pendekatan "CUT APPLE AR".

Minda berstrategi- Mengutamakan cara gaya belajar yang kemas, teratur dan kemas.

Cepat bertindak - Sentiasa peka dan cepat memberi respon terhadap sebarang keperluan untuk melengkapkan sesuatu tugasan.

Minda beretika - memiliki keperibadian mulia dan mengamalkan nilai-nilai akhlak terpuji seperti berbudi bahasa, disegani, tahu menghormati orang lain dan berdisiplin. Bertindak terhadap sesuatu dengan berhemah dan penuh tanggungjawab selaras dengan nilai norma yang diterima masyarakat.

No comments: